ALOR SETAR - Sesungguhnya pemergian bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri
Azizan Abdul Razak ke rahmatullah pada Khamis lalu, benar-benar mengusik
kenangan setiap individu mengenalinya.
Dari aspek kepimpinan sehinggalah soal kesederhanaan hidupnya termasuk cara pemakaian, terpahat dalam ingatan.
Antara yang mungkin tidak melupakan pemimpin yang mesra disapa Ustaz
Azizan itu ialah Pengurus Pusat Pakaian dan Jam Timor di Simpang Empat
Kangkong dekat sini, Loh Fook Siang, 45.
Cerita Fook Siang, perkenalannya dengan Azizan bermula lebih sembilan
tahun lalu apabila beliau sering berkunjung ke kedainya untuk membeli
kelengkapan dan pakaian sekolah anak-anak.
“Dia adalah seorang pemimpin yang sederhana. Pertama kali dia datang ke
kedai ini selepas PRU12, saya terkejut sebab dia masih berkunjung ke
kedai saya walaupun sudah menjadi seorang pemimpin utama negeri ini.
“Tambahan pula, dia datang dengan menaiki kenderaan sendiri dan tidak
menggunakan kenderaan rasmi,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Fook Siang, mesra dipanggil Ah Siang berkata, Azizan adalah seorang
pemimpin yang tidak mementingkan jenama, sebaliknya mengambil kira
faktor harga pada barangan itu asalkan berpatutan dan tidak membazir.
“Setiap kali datang, dia akan berbelanja tidak lebih RM200 untuk
keperluan anak-anak. Kalau untuk dirinya pula tidak lebih RM150.
Selalunya, dia akan beli baju kemeja putih lengan panjang untuk dipakai bersama blazer.
“Baju kemeja itu saya jual pada harga RM20 sehelai. Dia tidak memilih
jenama, asalkan murah dan berkualiti. Setiap kali datang, dia akan beli
sekurang-kurangnya dua atau tiga helai baju berserta dengan sehelai
seluar slack berwarna hitam,” katanya merintis kenangan terhadap Azizan.
Ujar Ah Siang, atas kerana itu, dia juga kerap membuat pesanan
tambahan untuk baju kemeja putih bagi memastikan Azizan tidak kecewa
datang ke kedainya pada bila-bila masa.
“Kadang-kadang kalau nak pakai cermin mata pun, dia suka pakai yang
berharga RM12. Dia beli cermin mata hitam di kedai saya. Sekali sekala
itu ada juga dia beli baju batik berharga bawah RM50. Macam-macam corak
dia beli, tapi tidak banyak, yang banyak dibeli ialah kemeja putih
lengan panjang,” katanya.
Menurutnya, beliau pernah menghadiahkan Azizan sehelai baju pagoda pada malam sebelum PRU13 di rumahnya, di Sungai Limau.
“Satu perkara saya tidak dapat lupa adalah sewaktu melawatnya di rumah.
Saya lihat keadaan dalam rumah dia begitu sederhana. Perabot dan
televisyen juga semuanya barangan lama, tidak ada yang baru.
“Apa saya saksikan, sikap dia tidak seperti pemimpin lain yang suka
bermegah dengan kekayaan. Saya ceritakan kepada rakan-rakan mengenai
kehidupannya, mereka terkejut malah ada yang tidak percaya,” katanya.
Bagaimanapun, sangat menyedihkan apabila pertemuan pada jam 11 malam di
rumahnya itu, Azizan sudah tidak berapa sihat dan kelihatan murung di
dalam bilik.
“Saya lihat dia seperti sedang kesedihan. Terkejut juga saya apabila
ternampak ibu jari kakinya bertukar jadi hitam seolah-olah membengkak.
Bila ditanya, Azizan kata tidak ada apa perlu dirisaukan,” katanya.
Menurutnya, pemergian Azizan amat mengejutkan apabila dimaklumkan
sendiri wakil Pas yang mengunjunginya di kedai kira-kira jam 12 tengah
hari.
“Saya terkejut dengan berita itu, tetapi saya tidak dapat hadir majlis
pengebumiannya sebab pekerja lain sedang cuti sakit, tidak ada orang
nak jaga kedai. Bagaimanapun, saya doakan supaya rohnya aman di sana,”
katanya.
No comments:
Post a Comment