Di sebalik kemeriahan suasana kempen dan kemewahan yang tergambar dari bahan kempen yang memenuhi kawasan Alor Setar, masih ada insan yang mengharapkan sumbangan dan bantuan.

Hidupnya tidak ubah seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang untuk menyara hidupnya dan menanggung keperluan anaknya yang kini menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi di Perlis.

Marzuki Ariffin, 49, menyapa ramah wartawan Malaysiakini yang sedang meninjau poster dan bahan kempen pilihan raya di sekitar Jalan Sultanah Bahiyah sempena pilihan raya umum 5 Mei ini.

NONE"Adik wartawan daripada mana?... Oh, Kuala Lumpur. Duduk dulu, bukan senang nak jumpa wartawan," katanya membuka bicara dengan Malaysiakini.

Beliau membuka kedai kasut kecil itu sejak empat tahun lalu, di bawah teduhan sebatang pokok rendang, kira-kira 500 meter daripada Bilik Gerakan BN Alor Setar di jalan tersebut.

"Hasilnya tak tentu, kadang-kadang sehari dapat RM50. Tak cukup. Ada hari saya dapat lebih daripada RM100," kata lelaki yang mesra dipanggil Arif itu.

Sambil membaiki sepasang kasut, beliau merungut mengenai wakil rakyat dan kerajaan negeri yang tidak mengambil berat mengenai masalah yang dihadapinya.

Katanya, beliau masih ingin memajukan dirinya, walau tulang empat keratnya kini tidak lagi kuat seperti ketika beliau bekerja kontrak di atas kapal di Singapura pada akhir 1980-an.

NONE"Wakil rakyat (Ahmad Bashah) di sini, (sepatutnya) tanya masalah kita. Ambil tahu. Bagi BR1M saja, tapi tak tanya masalah. Sepatutnya orang macam kita, kena mai tanya... Siapa yang tak mahu majukan diri.

"(Sepatutnya) datang ambil berat, bukan tak biasa, (beliau) pernah parking kereta bawah pokok sebelah kedai (makan) tu. Kalau pokok boleh bercakap, dia boleh beritahu," katanya yang tinggal di perumahan rakyat Taman Wira, Mergong – dalam DUN Bakar Bata.

Dua calon pencabar Ahmad Bashah di DUN berkenaan ialah Mohd Eekmal Ahmad dari PKR dan calon Bebas, Jawahar Raja Abdul Wahid.
Ditanya mengenai pandangannya ke atas calon yang bertading di DUN berkenaan, Marzuki berkata beliau segan untuk menegur calon Umno Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan tidak pernah bersalaman dengan ketua Umno Alor Setar itu.

"Kita segan nak tegur. Tak jumpa terus pun tak pa, tapi kita jumpa dia," tegasnya sekali lagi.

Katanya lagi, beliau juga tidak pernah memohon bantuan dari kerajaan Pakatan Rakyat di negeri tersebut kerana tidak mengetahui saluran untuk berbuat demikian.

NONE"Kerajaan negeri mesti bantu. Jadi kerajaan tak bantu, (jangan hanya) nak duduk di atas (saja).

"Tak jumpa (untuk mohon bantuan pada agensi berkaitan), tak ada. Tak pernah pergi tempat depa... Kita tak tahu cara," katanya sambil berharap dapat menikmati hidup selesa pada masa akan datang.

Beliau berharap akan memperolehi modal dan tempat yang lebih selesa untuk membolehkan orang ramai lebih yakin dengan perkhidmatan yang ditawarkannya.

"(Kalau) ada tempat yang selesa, baru orang datang. Orang pun tak takut. (Kalau macam) ini (mereka pun) tak yakin.

"Tanggapan masyarakat kita seolah-olah penagih dadah, sedangkan kita nak cari makan untuk hidup kita dan anak kita," katanya sayu.

Marzuki juga berharap semua pihak termasuk wakil rakyat yang dipilih selepas ini memberi perhatian sewajarnya kepada orang sepertinya pada masa akan datang.

Mengakiri perbualan, Marzuki berkata beliau bagaimanapun gembira kerana kiosk kecilnya itu sering dikunjungi golongan peguam, kakitangan agensi kerajaan dan "orang berpangkat besar" di kawasan itu.

Selain itu, beliau juga mendapat seorang pelanggan tetap, seorang wanita India dari Sungai Petani yang sanggup menempuh perjalanan yang jauh semata-mata untuk mendapatkan khidmatnya.

"Dia kata saya caj harga tak berapa mahal dan buat cantik dan dia berpuas hati," katanya yang berharap tarah hidupanya bakal berubah selepas pilihan raya umum 5 Mei ini.