ikan paus mati terdampar di Pantai Merdeka
Bangkai ikan paus dipercayai spesies jerung dianggarkan seberat satu tan dan sepanjang lima meter itu ditemui seorang nelayan yang kebetulan melalui kawasan pantai berkenaan kira-kira pukul 7 malam.
Ini merupakan kejadian ketiga bangkai haiwan marin terdampar di kawasan tersebut selepas kejadian tsunami pada 26 Disember 2004.
Pada 18 September 2006, penduduk Kampung Kepala Jalan yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari Pantai Merdeka digemparkan dengan penemuan seekor penyu besar di pantai berkenaan.
Selepas itu, bangkai ikan paus spesies Bryde's Whale dianggarkan seberat 4,000 kilogram dan sepanjang 12 meter ditemui di Kampung Pulau Sayak pada 10 Februari 2011.
Shukri Ahmad, 40, yang menemui bangkai ikan paus itu berkata, pada mulanya dia ternampak objek besar seperti longgokan sampah di tepi pantai berkenaan.
Walau bagaimanapun, jelasnya, selepas dihampiri objek itu didapati seekor ikan besar yang tidak pernah dilihatnya.
"Saya mendekati ikan itu dan mendapatinya sudah mati.
"Saya percaya ikan paus ini mati beberapa hari lalu dan bangkainya dihanyutkan ombak ke sini," katanya.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Perikanan negeri ketika dihubungi berkata, pihaknya telah menghantar pegawai untuk menjalankan siasatan di lokasi penemuan bangkai ikan paus berkenaan.
Jurucakap itu menambah, pihaknya telah mengambil sampel darah ikan paus tersebut untuk dihantar ke Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec) di Rantau Abang, Terengganu.
No comments:
Post a Comment