Booking Your Hotel with Agoda through this site,Get the BEST Deal

Friday, January 4, 2013

Tsunami Lumpur


Tsunami lumpur, 7 kenderaan terperangkap
NUR FARHANA ABDUL MANAN
4 Januari 2013
Tsunami lumpur, 7 kenderaan terperangkap
Seorang lelaki terpaksa bertarung nyawa apabila kereta yang dinaikinya diseret hampir 100 meter selepas dilanda banjir lumpur di Putra Height, Subang jaya, petang semalam.
 7 kenderaan tertimbus, 'dihanyut' banjir lumpur
Jentolak digunakan untuk membuang lumpur yang menutupi laluan berkenaan.
 7 kenderaan tertimbus, 'dihanyut' banjir lumpur
Saabana melihat keadaan keretanya selepas dihanyutkan lumpur di Putra Heights.
SUBANG JAYA – “Limpahan lumpur itu ibarat seperti tsunami, tidak sempat hendak mengundur kereta, ia terlebih dahulu menghanyutkan kereta saya sejauh lebih 100 meter," kata Saabana Sarijan, 54, salah seorang daripada lapan mangsa yang terperangkap dalam kejadian banjir lumpur di Putra Heights, lewat petang semalam.

Saabana berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari tempat kerjanya di Alam Megah menuju ke rumahnya di Puchong.

Katanya, sebaik sampai di simpang tiga berhampiran Balai Polis Putra Heights, dia berasa hairan melihat air lumpur memenuhi permukaan jalan sebelum limpahan lebih deras menuju ke arah kenderaan dipandunya.

“Dalam keadaan kelam kabut, saya nampak dua kereta berada di depan masing-masing dipandu wanita tersangkut serta tidak boleh bergerak kerana ‘terlekat’ dalam lumpur.

“Saya juga cuba mengundurkan kenderaan tetapi gagal sebelum kereta tiba-tiba berpusing dan ‘hanyut’ lebih 100 meter,” katanya.

Saabana yang masih terkejut dengan kejadian itu berkata, keretanya penuh dengan lumpur namun bersyukur kerana selamat dan tidak mengalami kecederaan.


Ibu hamil terperangkap

Dalam kejadian itu, tujuh kenderaan mengalami kerosakan akibat terkena air bercampur tanah yang mengalir deras dari kawasan atas Bukit Cermin di sini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Penguasa Kanan Bomba Mohd Sani Harul berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai bencana itu kira-kira jam 6.12 petang sebelum 10 anggota dan sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

Beliau berkata, kejadian berlaku di simpang tiga Jalan Putra Bahagia dari Puchong menghala ke Cyberjaya.

Sebaik tiba, katanya, anggota mendapati lima kereta, sebuah van dan sebuah motosikal yang kebetulan melalui jalan itu terperangkap dalam banjir lumpur setinggi satu meter dari kawasan berbukit.

“Semua mangsa terperangkap dalam kereta namun tiada sebarang kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan. Mangsa termasuk salah seorang daripadanya ibu mengandung hanya terkejut dan ketakutan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli pula berkata, kejadian berlaku dengan jarak 500 meter dari Balai Polis Putra Heights.
Katanya, kedua-dua laluan itu diliputi lumpur dan terpaksa ditutup sepanjang lebih tiga kilometer untuk memberi laluan kerja-kerja pembersihan dilakukan.
Beliau berkata, lalu lintas kawasan terbabit tidak tergendala kerana ada dua jalan alternatif lain boleh digunakan penduduk termasuk Lebuh Raya Elite dan juga Alam Megah.

Yahaya berkata, sebuah bilik gerakan kecil didirikan untuk memastikan kawasan terbabit selamat sehingga kerja-kerja pembersihan selesai dilakukan.

Katanya, ketika kejadian tiada hujan dan percaya ia berlaku apabila tanah yang runtuh masuk ke dalam takungan air sebelum mengalir ke permukaan jalan.

Kata Yahaya lagi, beliau difahamkan, menara pencawang elektrik yang terletak berhampiran tanah runtuh tidak terjejas dan akan memanggil pihak berwajib mengkaji semula tahap keselamatan di lokasi.

“Selepas dibersihkan dan dipastikan selamat baru jalan yang terjejas hampir 500 meter ini  akan dibuka semula kepada orang ramai.

“Buat masa ini, kita nasihatkan semua penduduk Putra Heights gunakan laluan alternatif lain dahulu,” katanya.


Arahan henti kerja

Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan mengeluarkan arahan berhenti kerja kepada pemaju yang menjalankan kerja pembinaan di kawasan terjejas akibat  limpahan banjir lumpur,.

Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Abdullah Marjunid berkata, kejadian banjir lumpur di kawasan itu dipercayai berpunca daripada kerja pembinaan tebing oleh pemaju.

Menurutnya, pihaknya sudah mengarahkan pemaju membuat kerja pembersihan di seluruh kawasan terlibat termasuk longkang awam pada malam semalam juga.

Beliau berkata, kerja itu diarahkan disiapkan selewat-lewatnya pagi ini supaya tidak menimbulkan kesulitan kepada penduduk setempat.

Abdullah berkata, kerja pembinaan dilakukan pemaju mempunyai kelulusan daripada MPSJ, bagaimanapun esok (hari ini) majlis akan mengeluarkan arahan berhenti kerja bagi apa juga kerja pembinaan sehingga siasatan dan tindakan selanjutnya dijalankan.

“Malam ini (semalam) fokus tertumpu kepada kerja pembersihan dan pembaikan, sehingga siasatan dilakukan tiada apa-apa kerja dibenarkan dilakukan pemaju di situ.

“Bagi laluan pula, ia akan ditutup sementara waktu dan keadaan di lokasi masih selamat,” katanya.

Sementara itu, wakil pemaju memberitahu pihaknya menjalankan kerja pembinaan di kawasan berbukit itu bermula awal tahun lalu dan dijangka siap dalam tempoh lima tahun lagi.

Katanya, projek di atas bukit termasuk pembinaan 150 rumah semi-D, 100 unit banglo dan 600 unit kondominium serta sebuah sekolah antarabangsa.

Menurut wakil pemaju itu, tanah yang runtuh bukanlah daripada kawasan berbukit sebaliknya tanah tambahan yang digunakan untuk pemajuan kawasan berkenaan.

“Selepas ini kita akan bincang dengan MPSJ sama ada boleh sambung kerja di situ atau tidak,” katanya.

No comments:

Post a Comment