"malapetaka" itu berpunca daripada diri sendiri. Dalam kehidupan harian, kita sering ditimpa "malapetaka" walaupun kecil, tetapi meninggalkan kesan yang besar kepada perasaan. Sebenarnya "malapetaka" yang aku maksudkan bukanlah bencana atau kecelakaan, tetapi sekadar gangguan fikiran. Gangguan fikiran ini kalau tidak dilayan dengan betul, marah-marah kita dibuatnya, atau mungkin menjadi bad mood sehari suntuk.
Ketika kita menggosok gigi dalam keadaan separuh sedar, separuh tidur pada waktu pagi, tiba-tiba kita menjerit seorang diri, kemudian mengerang perlahan. Malapetakalah pagi itu apabila berus gigi tertonyoh gusi dengan kuat. Ahhhh! Sakitnya bukan kepalang sehingga menghilangkan ngantuk. Gusi pasti bengkak atau berdarah. Akibatnya ngantuk terus hilang. Kita akan jadi segar bugar selepas itu.
Malapetaka juga datang masa kita makan. Gigi tergigit lidah atau bibir kerana kegelojohan kita. Gigitan yang kuat memberi kesan pedih sehingga beberapa hari setiap kali makan benda masin. Lain kali jangan gelojoh apabila suap makanan ke dalam mulut. Kunyah perlahan-lahan sambil nikmati rasanya dan telan selepas makanan lumat. Gigi lidah sendiri barangkali boleh menyebabkan kita mengamuk seorang diri. Aku pun selalu juga terkekah bibir sendiri.
Mengamuk ini mungkin juga terjadi sewaktu kita bersemangat menonton bola sepak kelab Eropah di kaca TV, elektrik terputus. Alamak, malapetaka lagi. Kalau Astro, hujan pembawa malapetaka yang hebat. Teknologi canggih di negara Khatulistiwa tetapi tidak kalis hujan. Marah juga apabila bola sedang rancak, pemain pujaan sedang ligat di pedang, tiba-tiba aral melintang sehingga tidak dapat menyaksikan kesudahannya.
Gangguan fikiran datang tanpa diduga, tanpa diundang. Pagi ceria, petang murung pun ada. Petang gembira, senja duka nestapa juga selalu terjadi. Kadang-kadang pada malam tertentu terasa nafsu berahi berkunjung datang dan minta dilayan. Ini perkara biasa seorang manusia. Hukum tabii nafsu berahi manusia sukar diteka. Datangnya mungkin secara tiba-tiba. Tanpa hujan, tanpa ribut keinginan itu menjelma, meruap-ruap dan minta dipenuhi. Maka kita pun menjeling isteri tersayang minta laluan. Isteri yang berpengalaman segera menangkap isyarat suami tercinta lantas berkata: "Maaf, bang! Lampu merah!" Fuyoh! Malapetaka sungguh malam itu! Putus semangat dibuatnya. Kalau diikutkan hati rasanya mahu mengamuk biar bergegar ranjang emas tempat peraduan Puteri Gunung Ledang. Nak marah siapa?
Dan malapetaka yang paling besar barangkali yang ini. Setelah lampu hijau, tatkala kita sedang menggunakan laluan sutera itu dengan rancak dan galak, tiba-tiba telefon menjerit-jerit. Aduh, dosa apa aku diuji sebegini rupa! Jeritan telefon bukan sekali, tetapi bertalu-talu. Tiada pilihan lain lagi. Mana tahu ada berita kecemasan yang memerlukan bantuan kita. Maka kita pun dengan mood yang mati, terpaksa menundakan perjalanan untuk menjawab telefon. Ini bukan perkara yang senang dilakukan. Ini bukan keputusan yang mudah diputuskan. Berat sekali hendak berhenti dari perjalanan yang sedang rancak dan galak itu.
Betul-betul malapetaka apabila suara di hujung talian berkata: "Aku di kedai Mamak depan rumah hang, mai kita pekena teh tarik!"
Jadah punya kawan. Masa lain ada tak datang, datang masa orang tengah naik bulan. Sengal otak dibuatnya. Nak marah siapa? Marah kawan pun tak boleh kerana mana dia tahu kita sedang buat apa. Mungkin kita sendiri sebelum ini pernah membawa malapetaka yang sama kepada dia.
Lain kali nak pergi rumah kawan pada waktu malam (siang pun sama), telefon dahulu beritahu dia. Membunuh mood orang berdosa namanya.
Itulah "malapetaka" yang bukan malapetaka dalam erti kata sebenar tetapi akibatnya lebih berat daripada pikul kepala keretapi!
Dalam rutin harian banyak "malapetaka" yang menimpa kita, berat atau ringan terpulang kepada tafsiran masing-masing. Ada orang gigit lidah (gigit lidah sendiri, bukan gigit lidah orang), lebih hebat daripada masalah gangguan lampu merah. Manakala orang lain mungkin berfikir sebaliknya.
Aku dan anda mungkin mentafsir "malapetaka" secara berbeza. Kalau aku, biar mati aku tak akan jawab telefon itu sehinggalah ... bulan jadi milikku. Anda bagaimana?
No comments:
Post a Comment