Booking Your Hotel with Agoda through this site,Get the BEST Deal

Monday, August 28, 2017

Microwave sebar cancer

Sedikit kebimbangan yang berlaku sejak penggunaan telefon bimbit yang sentiasa berada di saku sebelah peha. Terutamanya bagi pihak lelaki kerana bimbangkan kelestarian keturunannya. Pernah ada pensyarah admin berseloroh “Nanti masak “kesuburan” kamu”.
Admin ingin memberi sedikit penjelasan teknikal disebalik kebimbangan ini.

Apakah pancaran yang dihasilkan telefon bimbit?

Semua peranti yang beroperasi menggunakan tenaga elektrik menghasilkan pancaran gelombang elektromagnetik, termasuk telefon bimbit. Alat elektrik yang mengandungi motor juga sudah pasti menghasilkan gelombang elektromagnetik juga.

Simulasi pancaran gelombang elektromagnetik.
Bagi sebuah telefon bimbit, gelombang yang terhasil atau yang diterima adalah gelombang radio. Gelombang radio adalah gelombang elektromagnetik yang bergetar pada frekuensi antara 3 KHz hingga 300 GHz. Kebiasaannya bagi telefon bimbit, frekuensi yang digunakan adalah berbeza mengikut tempat dan geografi, antara 850-1900 MHz atau getaran per saat.

Ada apa dengan ketuhar gelombang mikro (microwave oven) anda?

Tahukah anda, frekuensi ketuhar gelombang mikro adalah hampir sama dengan frekuensi gelombang telefon bimbit?
Jadi apakah persamaan ini? Jawapannya adalah pada jenis gelombang elektromagnetik, iaitu gelombang mikro, dan pada frekuensi yang hampir sama iaitu kebiasaannya 2400 MHz berbanding dengan telefon bimbit yang beroperasi pada 850-1900 MHz. Untuk operasi Wi-Fi, frekuensi 2400 MHz juga digunakan untuk telefon bimbit. Jadi apa bezanya?
Sebelum kita membincangkan perbezaan ini, mari kita ambil tahu bagaimana makanan didalam ketuhar “microwave” memanaskan makanan.
Bayangkan pada satu pagi kita mengeluarkan nasi goreng yang sejuk dari peti ais, dan meletakkannya di sebuah mangkuk yang dilabel “microwave safe” (selamat untuk ketuhar “microwave”). Sejurus selepas meletakkan makanan didalam ketuhar tersebut, kita pun menutup pintu ketuhar tersebut lalu dipusing laras kuasa (kebiasaannya dari 100-850 Watt). Lepas itu kita akan memusing laras masa untuk tempoh pemanasan tersebut, yang akan memulakan proses pemanasan. Setelah beberapa minit, makanan akan cukup panas untuk hidangan sarapan kita.

Apa yang sedang berlaku ketika pemanasan tersebut?

Pertama, gelombang yang terhasil menggetarkan molekul-molekul air pada makanan tersebut, yang akan menghasilkan pemanasan disebabkan tenaga kinetik molekul makanan tersebut bertukar menjadi tenaga haba. Oleh kerana molekul air mempunyai kutub magnetik, getaran frekuensi akan menyebabkan geseran molekul-molekul air bertukar menjadi tenaga haba. Akan tetapi, TAHAP kuasa yang dilaraskan yang membolehkan pemanasan tersebut berlaku dengan baik.
Gambar yang menunjukkan struktur molekul air bergetar (dua molekul Hidrogen dan satu Oksigen menyebabkan sifat kekutuban) dan gambaran pancaran gelombang elektromagnetik yang menghasilkan getaran tersebut
Pada waktu yang sama, terdapat penebat gelombang tersebut pada keliling ketuhar tersebut yang disebut sebagai “Faraday Cage”, termasuklah yang ada pada pintu kaca ketuhar (anda boleh melihat jaringan logam tersebut pada pintu kaca ketuhar). Ini membolehkan pemanasan berlaku hanya dalam ketuhar tersebut, tanpa memanaskan objek diluarnya.
Apa bezanya dengan sebuah telefon bimbit? Ya, kuasa yang dihasilkan. Untuk menghasilkan 100W yang kebiasaannya adalah tahap pemanasan yang paling rendah. Inikan pula sebuah telefon bimbit yang kebiasaannya menggunakan tenaga yang jauh lebih kecil dari sebuah ketuhar, iaitu kurang dari 1 Watt.
Ada video yang agak masyhur yang menunjukkan beberapa telefon bimbit diletakkan berhampiran butiran jagung yang bertukar menjadi “popcorn”. Akan tetapi, video tersebut telah di analisa dan diisyhtiharkan palsu.
Video palsu mengenai kuasa telefon bimbit yang boleh memanaskan bertih jagung bertukar menjadi “popcorn”
Ringkasnya, kuasa telefon bimbit adalah dalam 1,000 – 8,500 kali (anggaran sahaja) lebih kecil dari kuasa pancaran sebuah ketuhar mikro.
Setakat ini, hanya kesan pemanasan sahaja yang boleh berlaku melalui pancaran gelombang elektromagnet. Sebarang kesan lain dari gelombang telefon bimbit tidak dapat dikenalpasti setakat ini. Berlainan pula dengan  pancaran sinaran-X atau gamma yang memang merbahaya (dan boleh menyebabkan kanser). Kerana ia boleh pancaran tersebut boleh merentasi dinding sel dan merosakkan DNA yang berada di dalam sel.
Tetapi sebuah telefon bimbit tidak mungkin akan berupaya memancarkannya.

Kajian?

Kebanyakkan kajian menunjukkan bahawa penyakit kanser belum lagi dapat dikaitkan dengan gelombang daripada telefon bimbit mahupun microwave. Tetapi FDA ada mengeluarkan satu rekomendasi kepada kanak-kanak supaya mengurangkan pendedahan kepada gelombang tersebut. Ini kerana otak kanak-kanak masih membesar. Mereka risau pendedahan yang selalu pada kepala mungkin menyebabkan gangguan pada sel itu sendiri.
FDA  mengeluarkan garis panduan tersebut bukanlah menunjukkan ia bukti gelombang tersebut adalah penyebab kanser. Tetapi ini lebih kepada langkah berjaga-jaga

Kesimpulan.

Kesimpulannya, gelombang daripada telefon bimbit mahupun microwave belum dibuktikan lagi menyebabkan kanser. Bahkan banyak daripada kajian mengatakan tiadnya kaitan penyakit kanser dengan penggunaan telefon bimbit.
Oleh itu, usah dirisaukan radiasi telefon bimbit anda, akan tetapi berhati-hati dengan khabar palsu yang anda dapati diluar sana
Jika anda rasa perkongsian ini bermanfaat, sila like page kami Root of Science

Rujukan
[1] Kamerman and N. Erkocevic, “Microwave oven interference on wireless LANs operating in the 2.4 GHz ISM band,” in Personal, Indoor and Mobile Radio Communications, 1997. Waves of the Year 2000. PIMRC’97., The 8th IEEE International Symposium on, 1997, pp. 1221-1227.
[2] “Cell Phones and Cancer Risk” https://www.cancer.gov/about-cancer/causes-prevention/risk/radiation/cell-phones-fact-sheet
[3] “Can mobile phones really be used to cook popcorn?” https://www.theguardian.com/technology/2008/jun/11/mobilephones.youtube
[4] “How Do Microwaves Cook Food?” http://www.businessinsider.my/how-do-microwaves-work-2014-6/?r=US&IR=T#7Vik8jpOzedkePuv.97

No comments:

Post a Comment