Booking Your Hotel with Agoda through this site,Get the BEST Deal

Sunday, April 21, 2013

Zul Noordin yakin dengan imej dibawanya






Zul Noordin yakin dengan imej dibawanya, percaya BN tawan Selangor


Oleh Emily Ding
KUALA LUMPUR, 21 April — Calon Datuk Zulkifli Noordin dari Perkasa mengatakan beliau tidak perlu menukar imejnya untuk memenuhi kehendak demografi dalam perlumbaan memenangi kerusi Shah Alam, sambil menambah beliau yakin Barisan Nasional (BN) akan menawan Selangor pada Pilihan Raya 2013.
Penyandang kerusi Parlimen Kulim Bandar - Baru itu telah menguris hati masyarakat India ekoran kenyataannya baru-baru ini yang mempersoalkan kepercayaan mereka, tapi beliau memberitahu laman portal fz.com langkah BN memilihnya adalah bukti pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak tegas dalam transformasi politiknya.
“Saya adalah diri saya,” kata Zulkifli dalam wawancara yang dimuat naik dalam laman tersebut semalam.
“Ia adalah bukti pembaharuan politik yang Najib janjikan untuk mengubah corak politik di Malaysia, berfikir luar kotak. Jadi, saya adalah bukti program transformasi ini,” katanya dengan bangga merujuk kepada pencalonan dirinya walaupun tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana parti komponen BN.
Peguam syariah dan bekas peguambela Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah orang pertama yang bertanding dibawah bendera “Rakan Barisan Nasional” pada pilihan raya umum 5 Mei depan.
Keputusan BN meletak Zulkifli telah menerima kritikan yang kuat, bukan hanya kerana imej ultra Melayu dan jawatan sebagai naib presiden Perkasa, tetapi juga kerana kontroversi baru-baru kerana beliau menghina penganut agama Hindu.
Dalam temubual itu, Zulkifli berkata Najib berani untuk meletakkan satu “spesis yang jarang” seperti beliau dalam pilihan raya akan datang dan rakyat Malaysia perlu menghargainya.
Bagaimanapun, beliau terkejut dengan pengkritik yang bimbang apabila mengaitkannya dengan NGO Perkasa.
“Saya agak terkejut mereka begitu mengambil berat tentang Perkasa, saya dengan Perkasa. Orang tidak pernah bertanya kepada saya sama ada saya sebahagian daripada Majlis Peguam. Saya seorang ahli exco Majlis Peguam...” katanya.
Beliau juga bertukar corak pandangannya apabila tidak lagi bercakap tentang hak kaum Melayu dengan berkata, “Saya seorang juara kepada hak perlembagaan.”
Video menunjukkan Zulkifli menggunakan perkataan “Keling”, yang masyarakat India rasakan sebagai penghinaan kaum, tersebar baru-baru ini, beberapa hari selepas satu lagi video menyaksikan beliau mempersoalkan seorang peniaga India mengapa tuhan Hindu tidak menyelamatkan kedainya daripada banjir, menyebabkan kemarahan penganut Hindu.
Zulkifli mengakui kesilapannya itu dan meminta maaf serta mendakwa mengeluarkan kata-kata tersebut semasa bersama PAS.
“Kami melakukan banyak kesilapan... Sepanjang masa saya bersama pembangkang, kami telah diajar politik ekstremisme, cauvinisme, perkauman... sehingga hari ini. Itulah sebabnya anda boleh melihat baru-baru ini apabila beberapa minggu yang lalu, seorang ahli PAS keluar secara terbuka mengakui bahawa mereka begitu ekstrem berpolitik, mereka mahu membunuh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir,” katanya.
Bekas anggota PKR itu juga berkata: “Ucapan pertama saya di Parlimen selepas menjadi ahli bebas adalah mengakui kesilapan dan memohon maaf kepada rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama yang saya melakukan kesilapan yang serius semasa bersama pembangkang. Dan saya memohon maaf secara terbuka.”
Zulkifli menjadi MP bebas mesra BN dan kritikal terhadap pembangkang apabila beliau dipecat PKR pada 6 Mac 2010 ekora laporan polis beliau ke atas penyandang MP Shah Alam Khalid Abdul Samad.
Beliau juga memberitahu fz.com bahawa yakin “101 peratus” akan menang kerusi Shah Alam mengalahkan calon PAS, Khalid Samad yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 2008.
“Selepas 5 Mei anda akan melihat saya sebagai wakil rakyat Shah Alam, kerana saya yakin terhadap Perdana Menteri,” katanya.

No comments:

Post a Comment