Booking Your Hotel with Agoda through this site,Get the BEST Deal

Wednesday, March 9, 2011

Saffron



http://azhargd.blogspot.com



 

Merangsang minda dengan Saffron



Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Hari ini Laman-Seri kongsikan satu lagi flora ciptaan Allah SWT yang mengandungi khasiat yang sangat mengagumkan. Za'faran atau lebih dikenali dengan nama saffron (Inggeris) merupakan herba paling mahal di dunia. Ia mempunyai nilai khasiat dan juga nilai komersial yang tinggi. Maka tidak hairanlah untuk menggunakannya tidak kiralah untuk tujuan perasa makanan mahupun ubatan, kuantiti yang diambil hanya sedikit.




Saffron adalah sejenis tumbuhan kecil dari keluarga Iridacea. Ia diperoleh daripada stigma kering daripada bunga spesies crocus sativus. Terdapat hanya tiga stigma pada sekuntum bunga. Untuk mendapatkannya, bunga saffron perlu dituai dengan menggunakan tangan, maka sebab itulah ia amat berharga dan mahal. Bagi mendapatkan satu auns filamen saffron, sebanyak 75,000 bunga diperlukan bagi menghasilkannya.








Tumbuhan ini dipercayai berasal dari Asia Barat dan paling banyak ditemui di Parsi. Spesies crocus pula banyak ditanam di zaman Eropah silam. Dikatakan orang Monggol telah menbawa dari Parsi ke India. 

Herba saffron juga telah disebut dan dicatatkan di dalam perubatan Ayurveda sejak ribuan tahun dahulu. Dikenali juga sebagai kumkum atau kuma-kuma, lebih daripada 20 ubat-ubatan Ayurveda memiliki bahan saffron di dalamnya.

Kandungan utama yang terdapat di dalam saffron adalah minyak asas. Beberapa terpene aldehyd juga telah ditemui termasuklah terpene (pinene, cineol). Rasa pahit yang terkandung dalam saffron pula adalah daripada picrocrocin.



Manakala warnanya yang kuat adalah disebabkan oleh karotenoid yang terkandung di dalamnya. Herba ini juga dikatakan tinggi dengan kandungan thiamine dan juga riboflavin. Disebabkan kerana bau dan kuasa pewarnanya yang sangat kuat, maka hanya sedikit sahaja diperlukan untuk tujuan tertentu. Selalunya saffron digunakan untuk warna kuning-kemerahannya yang terang dan juga kerana bau dan rasanya yang pekat dan kuat.


nasi saffron

Saffron sememangnya ramuan istimewa kerana dikatakan mampu memberi warna dan rasa pada makanan. Di India, ia banyak digunakan dalam nasi, minuman dan pencuci mulut. Di Jepun, ia digunakan bagi menambahkan kelazatan ikan mentah yang dimakan.

Di Sweden terdapat hidangan menyambut tetamu dengan menghidangkan kek saffron. Begitu juga di Spanyol, sejenis masakan yang menggunakan bahan ini sangat terkenal di seluruh dunia. Biasanya pelawat atau pelancong yang datang ke Sepanyol tidak akan meninggalkan negara tersebut sebelum menjamah 'Spanish cuisine' tersebut.

Awet muda

Untuk tujuan perubatan, khasiat saffron memang tidak dapat dipertikaikan lagi. Semenjak beribu tahun dahulu, herba mahal ini telah digunakan oleh pengamal perubatan herba sebagai ramuan ubatan dalam merawat penyakit.

Saffron dikatakan amat berguna sebagai ubat sakit perut dan antipasmodik dan ia dikatakan mampu membantu pencernaan dan meningkatkan selera makan. Selain itu, herba ini juga dikatakan mampu melegakan kolik (kembung disebabkan angin) dan melegakan tekanan.

Saffron didakwa mampu diambil oleh wanita yang mengalami masalah haid yang tidak menentu serta mereka yang mahu hamil. Selain itu, ia juga dikatakan mampu menambahkan tenaga zahir dan batin.

Pada zaman silam, penggunaan saffron hanya terhad kepada wanita golongan diRaja dan kalangan bangsawan serta saudagar sahaja. Namun pada masa kini, semua golongan boleh menggunakannya. Malah bagi mereka yang mempunyai wang, boleh menggunakan alat solek mahupun produk kecantikan yang menggunakan saffron sebagai salah satu bahan ramuannya. Selain kemampuannya untuk merawat jerawat atau penyakit kulit dengan berkesan, penggunaan saffron juga boleh mengekalkan awet muda.

Khasiat lain saffron adalah untuk merangsang minda dan pertumbuhan sel-sel otak manusia. Ia juga dikatakan amat sesuai diberikan kepada bayi dan kanak-kanak kerana mampu merangsang pertumbuhan akal dan fizikal mereka. Bagi mendapatkan khasiat ini, dikatakan saffron amat sesuai dimakan bersama madu asli.

Saffron juga dikatakan mampu melegakan kelesuan dan keletihan kerana ia mampu menguatkan jantung dan juga sistem saraf. Ia turut boleh dimasukkan ke dalam susu dan dijadikan minuman untuk mereka yang mengalami masalah kardiak ringan.

Walaupun terdapat pelbagai kegunaan dan khasiat saffron, namun begitu penggunaannya perlulah mendapat nasihat pengamal perubatan bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari.

No comments:

Post a Comment