• Pusat Tahfiz Amal Video yang dimuatnaik dalam You Tube.
1 / 1
ALOR SETAR - Pusat Tahfiz Amal (PTA) mengeluarkan rakaman video dan dimuatnaik melalui laman You Tube bagi menyangkal segala dakwaan blogger yang tersebar di laman sosial, baru-baru ini.

Pengetuanya, Muslim Ab Karim dalam video itu sekali lagi berkata mereka mengambil kesempatan menjelaskan kedudukan sebenar pusat tahfiz, sekali gus menyangkal perkara yang dihebohkan dalam blog dan laman sosial.

Dalam rakaman bertajuk, 'Pengetua Pusat Tahfiz Amal sangkal Pembohongan', Muslim sekali lagi menjelaskan dia sebenarnya pengetua pusat tahfiz terbabit, manakala SM Amin yang didakwa pengetua PTA hanyalah tokoh korporat yang menyumbang kepada mereka.

“Apa yang dihebohkan dalam Facebook, blog merupakan usaha tidak bertanggungjawab segelintir blogger, pengguna laman sosial yang menggunakannya sebagai media mereka.

“Saya ingin sangkal SM Amin adalah pengetua, dia hanya tokoh korporat. Malah, kenyataan ini boleh dirujuk dalam surat khabar bertarikh 21 Februari lepas, “ katanya.

Malah, katanya dalam video terbabit lagi, pihaknya akan membuat rayuan mengenai arahan penutupan yang diterima mereka.

Muslim dalam kenyataan dalam video terbabit berkata, mereka juga ingin mempertahankan Sunnah Rasulullah SAW bahawa jualan amal ini membina jati diri yang terbaik.
“Ibarat kata orang tua, melentur buluh biarlah dari rebungnya,” katanya mengakhiri ucapan video terbabit.

Bagaimanapun, perkongsian video berdurasi 3.32 minit yang dimuatnaik pada 28 Februari lepas itu mendapat perhatian, sekali gus menerima reaksi pengguna laman sosial berkenaan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan PTA di Jalan Yan–Kuala Kedah, dekat sini menghentikan aktiviti jualan amal  sementara waktu selepas menerima arahan penutupan operasi dari Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) pada 10 Februari lepas.